Home / Informasi / APA ITU BANDAR, RUMAH ATAU KAWASAN PERUMAHAN MESRA SYARIAH? – PART 2

APA ITU BANDAR, RUMAH ATAU KAWASAN PERUMAHAN MESRA SYARIAH? – PART 2

Pada 11 November 2019, kami telah mengajukan soalan “Apakah implikasi apabila PKNS mengatakan bahawa PKNS Raudhahville sebuah bandar Islam dan/atau sebuah bandar Islam moden dan patuh syariah” bermakna semua bandar-bandar lain tidak Islamik dan/atau tidak patuh syariah?

Dalam Part 1, kami telah huraikan apakah maksud syariah dan patuh syariah serta kami telah mempersoalkan adakah wajar sesuatu bandar atau projek perumahan itu dilabel sebagai “patuh syariah.”

Dan suatu perkara yang nyata ialah PKNS Raudhah City tiada panel penasihat syariah dan tiada menerbitkan helaian kenyataan product (product disclosure sheet) untuk mengesahkan projek mereka patuh syariah.

Boleh rujuk post Part 1 di sini  https://lariba.org.my/apa-itu-bandar-rumah-atau-kawasan-perumahan-patuh-syariah-part-1/

Pada pendapat kami, label atau ungkapan yang patut digunakan bukanlah “patuh syariah” tetapi “mesra syariah” sebab tiada standard atau piawaian yang diterima-pakai yang boleh menentukan bandar, rumah atau kawasan perumahan itu patuh syariah.

OKlah… kita teruskan beri huraian bagaimana projek perumahan boleh dikategorikan sebagai “mesra syariah”, Insya Allah.

Kita mulakan dengan kontrak atau akad dengan pembeli rumah atau premis perniagaan.

Soalan yang pertama ialah adakah Islam mengharuskan jual-beli sesuatu yang belum wujud? Ini adalah kerana selalunya penjualan kediaman di projek-projek perumahan akan mula dijalankan sebelum kediaman tersebut siap dibina.

Islam mengharuskan penjualan secara diskripsi (sale by description) tetapi dengan beberapa syarat yang ketat.
Diskripsi subjek mesti terperinci jika barangan tiada di majlis aqad, elak gharar yang dilarang.

Pembeli diberikan pilihan untuk memeriksa atau meneliti (khiyar ru’yah) secara automatik dalam penjualan secara diskripsi.

Nabi s.a.w. melarang jual-beli gharar tetapi khiyar ru’yah dan diskripsi menghilangkan elemen gharar dalam jual-beli ini.

Pembeli boleh menolak barangan tidak menepati spesifikasi selepas diterima dan diperiksa. Maksudnya jika penjual menawarkan penjualan produk tetapi tidak kedapatan semasa akad, maka Islam memberikan khiyar ‘aib (defect option) kepada pembeli.

Oleh kerana jarang sekali pembeli rumah mampu membeli rumah secara tunai, pemaju mesra syariah wajib menyediakan pembiayaan melalui perbankan Islam sahaja.

Panel pembiayaan mestilah terdiri daripada perbankan Islam sahaja dan jika pembeli ingin mengambil pembiayaan selain dari panel pembiayaan yang disediakan oleh pemaju, mereka sepatutnya dimestikan mengambil pembiayaan daripada perbankan Islam.

Pemaju yang mesra syariah sepatutnya menjadi “pendakwah” kepada pembeli supaya pembeli mengelakkan dosa besar terlibat dengan riba.

Dan pemaju juga semestinya mengambil pembiayaan projek perumahan dari perbankan Islam serta mengambil produk perlindungan risiko dari takaful sahaja.

Pemaju juga sepatutnya mengelakkan apa-apa unsur gharar yang dilarang dalam iklan mereka. Spesifikasi harus jelas dan wajib dipenuhi. Elakkan meletakkan syarat-syarat seperti “specification is subject to change without notice” (spesifikasi tertakluk kepada perubahan tanpa notis).

Iklan pula mesti tepat, elakkan:

1. Unsur-unsur tidak patuh syariah seperti mempamirkan benda2 haram seperti arak dan premis judit.

2. Elakkan subliminal advertising atau pengiklanan melibatkan apa yang dirasakan oleh deria anda secara sedar atau tidak sedar, seperti menunjukkan anak-anak jadi pandai walhal iklan untuk rumah, menunjukkan wanita-wanita menghiaskan diri dan tidak menutup aurat secara berlebihan walhal iklan untuk rumah, menunjukkan tempat2 cantik walhal tiada dalam pelan perumahan dan seumpamanya.

Jika terdapat sebarang perubahan yang tidak dapat dielakkan (baca: dharurah) atau disengajakan, pemaju wajib memberi pencerahan kepada pembeli. Pemaju juga wajib bayar ganti rugi kepada pembeli atau memberi opsyen kepada pembeli untuk membatalkan pembelian atau meminta pembeli merelakan perubahan tersebut.

Pemaju juga wajib menyerahkan kediaman dalam masa yang dijanjikan. Pemaju seharusnya mengambil iktibar dari projek-projek mereka yang lalu akan kesesuaian janji menyerahkan projek dalam masa2 tertentukan. Elakkan sama sekali janji yang sudah diketahui berkemungkinan besar tidak dapat ditunaikan.

Wallahu’alam.

Dalam siri yang akan datang, kita akan huraikan berkenaan dengan reka bentuk (design).

Kemudian kita akan bincang berkenaan dengan operasi dan/atau suasana yang perlu ada di dalam kawasan permumahan “mesra syariah,”

Semoga bermanafaat.

Insya Allah… 😬🇵🇸

#BuyHalalOnly #BHO

About Admin

Check Also

MENYOKONG PENUH MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-446: DOSA MEMAKAN RIBA LEBIH DAHSYAT DARIPADA BERZINA Soalan: Apakah status hadith …