Home / Informasi / Adakah Kad Diskaun Haram?

Adakah Kad Diskaun Haram?

Soalan: Saya telah mendengar bahawa kad diskaun berbayar secara berkala (contohnya setahun sekali) adalah haram disebabkan ada gharar. Maksudnya kita tak pasti atau terdapat ketidak-jelasan apa yang kita akan dapat dan kemungkinan terdapat penipuan di mana pengeluar kad tersebut akan menaikkan harga sebelum memberi diskaun. Jika harga dinaikkan ia adalah zalim kepada pembeli yang tiada kad diskaun.

Tetapi jika kad diskaun itu percuma atau dibayar cuma sekali sahaja (contohnya semasa baru dikeluarkan) ia adalah
harus dan diskaun yang diperolehi melalui kad tersebut adalah harus dan ditakrifkan sebagai hibah/hadiah. Boleh
tak ustaz beri komen tentang perkara ini?

 

Jawapan: Hukum asal gharar ialah haram dengan berdasarkan hadis dari Abu Hurairah r.a.: “Rasulullah SAW
melarang jual-beli al-hashah dan jual-beli gharar.” (HR Muslim). Dan, hadis dari Ibnu Umar r.a.: “Nabi SAW melarang dari menjual anak dari anak yang berada dalam perut unta.”

  • Tiada dalil khusus dalam Al-Quran, yang ada larangan am iaitu melarang memakan harta orang lain secara bathil: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu…” (An-Nisa: 29)
  • Sebab maksud gharar secara amnya ialah memakan harta orang lain secara bathil
  • Gharar bermaksud ketidakpastian, manakala ketidakpastian bermaksud “terdapat sesuatu yang ingin disembunyikan oleh sebelah pihak dan boleh menimbulkan rasa ketidakadilan serta penganiayaan kepada pihak yang lain.”
  • Menurut bahasa Arab, makna al-gharar adalah al-khathr. Al-khathr pula bermaksud pertaruhan ataupun pengambilan risiko. Dalam erti kata lain, gharar adalah pengambilan risiko yang melampau ataupun tanpa pertimbangan dari pihak pengambil risiko tersebut.
  • Menurut Ibnu Rusyd, gharar adalah kurangnya maklumat tentang keadaan barang ataupun objek yang wujud keraguan pada kewujudkan barang, kuantiti dan maklumat yang lengkap berhubung dengan harga. Ia turut berkait dengan masa untuk diserahkan barang terutamanya ketika wang sudah dibayar tetapi masa untuk diserahkan barang tidak diketahui.
  • Kesimpulannya dari erti gharar adalah seperti berikut:
    • Jika makna gharar diambil sebagai ketidakpastian sahaja dan tidak diambil
      huraian seperti daripada Ibnu Rusyd, maka terdapat banyak transaksi jualbeli
      menjadi haram. Contohnya jual-beli yang ditempah seperti menempah
      baju sebab terdapat ketidak-pastian tentang kualiti atau adakah mengikut
      spesifikasi apabila siap.
  • Oleh itu, para ulama membahagikan gharar kepada dua kategori:
    • Gharar fahiysh atau kabir, iaitu gharar berat yang dilarang kerana
      mempunyai elemen yang boleh merugikan dan boleh dielakkan. Seperti
      bersetuju untuk membeli kereta yang tidak diketahui harganya. Maksudnya
      terdapat elemen yang bakal merugikan mana-mana pihak dalam sesuatu
      transaksi.
    • Gharar yasir atau gharar ringan, iaitu gharar yang tidak
      menyebabkan kerugian sebab ia tidak dapat dielakkan.
      Seperti membeli buah durian tetapi tidak pasti ada berapa
      ulas buahnya. Dan kad khutub-khanah (library), dengan
      bayarn berkala RM20 setahun, kita tidak tahu berapa banyak
      buku yang akan kita pinjam, tetapi ia tidak merugikan.
  • Oleh itu, tidak kesemua urusan niaga dan kontrak akan menjadi haram dan tidak sah disebabkan kewujudan gharar.
  • Seperti mana yang dibincangkan oleh Imam An-Nawawi dan Ibnul Qayyim menyatakan “Tidak semua gharar menjadi sebab pengharaman jual beli. Gharar, apabila ringan (sedikit) atau tidak mungkin dipisah darinya, maka urusan niaga ataupun kontrak tersebut sah di sisi Islam.”
  • Oleh itu elemen gharar harus diteliti dan diberi huraian yang lebih terperinci mengikut konteks isu yang dibincang untuk menjauhi kekeliruan.

 

 

Huraian & Penelitian

  • Jika dikenakan bayaran, apakah ada elemen gharar atau ketidak-pastian kad-kad tersebut?
    • Dari penyelidikan ringkas, pengeluar kad-kad tersebut memberikan maklumat yang terperinci dalam laman web mereka. Dengan teknologi web, pemegang dapat maklumat terkini mengenai manfaat
  • Apakah jenis kontrak jika dikenakan bayaran?
    • Pada pendapat saya, bayaran yang dikenakan samada sekali atau berkala, ialah untuk upah servis dan harga kad untuk mendapatkan manfaat itu, seperti:
      • Keperluan sistem komputer dan kakitangan untuk pengelolaan kad
      • Menerbitkan majalah berkala
      • Mendapatkan diskaun dan manfaat dari syarikat lain
  • Maka kontrak yang digunakan ialah kontrak ujrah (upah) dan wakalah (wakil) (wakalah bil ujrah) iaitu pemegang kad wakilkan kepada pengeluar kad untuk uruskan sistem kad diskaun dengan upah
  • Adakah alasan syarikat akan menaikkan harga menjadi lebih mahal apabila mengeluarkan kad diskaun menjadikan kad diskaun itu tak patuh shariah?
    • Yang pertama sekali, kena sahkan mereka menaikkan harga sebab adanya kad diskaun
    • Walaubagaimana pun, dalam muamalat Islam, peniaga bebas menentukan harga masing-masing dan pembeli bebas membeli di mana-mana mereka pilih asalkan tiada monopoli untuk barangbarang
      keperluan asas seperti makanan asas (seperti beras, gula, tepung) dan servis asas (seperti perubatan, pendidikan, telefon, pengangkutan awam).
    • Jika harga barang sekali pun, dan apabila tiada monopoli, pembeli dengan sendirinya akan tahu dan membeli di tempat lain. Harga yang tinggi akan kembali kepada harga yang stabil.
  • Adakah alasan ketidak-tentuan untuk mendapatkan manfaat merupakan alasan untuk menjatuhkan hukum gharar atas kad diskaun dengan bayaran yuran berkala?
    • Beberapa soalan boleh ditanya untuk menentukannya:
      • Adakah maklumat tentang bayaran keahlian itu jelas?
      • Adakah maklumat tentang manfaat itu jelas?
      • Adakah manfaat yang dijanjikan ialah manfaat yang dinikmati (what you see is what you get)?
      • Adakah syarat-syarat, terma-terma dan harga-harga itu jelas?
      • Adakah syarikat itu syarikat yang mempunyai reputasi yang baik dalam pasaran?
    • Jika semua jawapan kepada soalah di atas adalah “Ya” maka, Insha Allah, tiada elemen gharar berat yang mengharamkannya
    • Wallahu’alam….

 

Adakah-Kad-Diskaun-Haram

About Admin

Check Also

JEMPUTAN FINGO

Susulan sebuah artikle bertajuk Rumusan Isu Fingo yang diterbitkan di laman web ini, Pihak Lariba …